30 Jun 2012

Syukur ada sistem sokongan

Bayangkan ketika sukan, kita berlari, orang keliling buat tak kisah saja. Agak-agak macam mana kita lari? Cuba pula kalau semasa kita berlari, ada ramai yang menjerit nama kita memberikan sokongan dan tepukan. Memang laju punya. Termotivasi kita jadinya. Tapi, apa yang cikgu nak kata kali ni bukan pasal sokongan tu..Pernah tak kita terfikir, bagaimana kita boleh berjalan dengan gagah sekali. Sedangkan dalam masa yang sama, cacing tak berjalan tapi bergerak jugalah. Ikan pula lain caranya. Begitu juga burung yang terbang tinggi di angkasa raya. Bagaimana semua ini berlaku? Siapa yang menjadikan semua makhluk itu berbeza-beza cara pergerakannya?

Baiklah. Sebelum menjawab persoalan tersebut, cikgu nak bincang sikit pasal sistem sokongan pada organisma hidup. Sistem sokongan adalah penting bagi kemandirian semua organisma multisel. Tanpa sistem sokongan, daya graviti akan menyebabkan berat badan menghimpit pada organ-organ dalaman. Ikan paus yang terkandas di pantai tidak dapat kembali ke dalam laut kerana rangka dalamnya yang lemah. Jika ikan paus yang terdampar itu dibiarkan, ikan paus akan mati kerana berat badannya akan menghimpit organ dalamannya. Ajaibkan ciptaan Allah. Ikan paus begitu besar kalau dalam laut, punya main laju berenang. Sekali terdampar di darat, boleh mati tu...Tanpa sistem sokongan, haiwan dan manusia tidak akan mempunyai bentuk badan yang tetap. Tanpa sistem sokongan, tumbuhan tidak dapat bertumbuh tegak untuk mendapatkan cahaya matahari. Boleh tak bayangkan kalau lembu tak ada sistem sokongan? Individu yang tidak berupaya secara fizikal boleh menggunakan alat bantu jalan untuk sokongan. Contoh yang biasa nampak tongkat rotan, tongkat rangka dan tongkat ketiak.

Oh ya, tau tak sistem sokongan pada haiwan dan tumbuhan macam mana? Sistem sokongan pada haiwan terdiri daripada sistem rangka dan otot. Kalau nak bincang panjang lagi ni. Cikgu rasa, buat masa ni yang perlu kita tahu ialah kita diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Wajib bersyukur kepada Pencipta yang mencipta kita. Dalam hal ini, kita wajib bersyukur kerana diberikan sistem sokongan yang membolehkan kita dapat bergerak dengan mudah. Maka, gunakan sistem sokongan ini untuk melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Belum lagi bincang bab lain dalam tubuh badan manusia ni. Belum juga masuk bab binatang dan tumbuhan. Semakin kita belajar tentang manusia, alam semesta dan kehidupan, maka sepatutnya semakin kita merasakan hubungan dengan Allah.

InsyaAllah, lain waktu cikgu akan membincangkan tentang sistem sokongan haiwan dan tumbuhan.

29 Jun 2012

Surat sahabat

Assalamu'alaikum, Apa khabar sahabatku? Aku doakan moga kau dan keluarga dalam keadaan sihat dan bahagia. Lama sudah kita tak bersua muka kan? Alhamdulillah, dengan kecanggihan teknologi, boleh juga kita saling bertukar ilmu walaupun hanya dalam alam maya. Macam mana guru-guru mu di sana? Sebenarnya, kita yang patut pandai bawa diri kan? Cikgu dah buat yang terbaik untuk kita semua. Hari tu, kau ada emel aku tentang tekanan udara. Kalau dapat 'share' selalu lagi bagus. Taklah kita fikir belajar sains untuk 'exam' saja. Aku pun nak kongsi sikit pasal sains ni. Kau tau tak, makanan yang kita makan sehari-hari ada asid dan alkali? Bahaya? Taklah...Memang biasa orang cakap asid saja,mesti rasa takut. Takut melecur...Sebab banyak sangat tengok tv yang menceritakan keburukan asid. Cuba tengok di berita, ada sindiket simbah asid lagi. Takpalah...nak buat macam mana. Cuma kita yang belajar sains ni taklah fikiran kita macam begitu. Baiklah, aku nak cerita dulu pasal ciri asid dan alkali. Asid ni rasanya masam, kalau asid tu pekat sangat mengakis, nilai pH kurang daripada 7, bertindak balas dengan kebanyakan logam untuk menghasilkan gas hidrogen dan menukarkan kertas litmus biru lembap kepada merah. Alkali pula rasanya pahit dan licin seperti sabun, kalau alkali tu pekat boleh mengakis, nilai pH lebih daripada 7 dan menukarkan kertas litmus merah lembap kepada biru. Nak cubakah? Cuba ambil cuka sama sabun. Cuka tu rasanya masam, sabun pula pahit dan licin. Jadi, cuka tu sejenis asid, sabun pula alkali. Taklah bahaya pun, malah sangat berguna. Kalau di sekolah, boleh minta cikgu tunjukkan asid hidroklorik pekat sama larutan natrium hidroksida pekat (alkali). Kedua-duanya boleh mengakis dengan mudah. Kami dulu guna kertas turas yang diletak atas jubin. Nak tau lagi? Air sebenarnya yang membolehkan sesuatu asid atau alkali menunjukkan sifatnya. Tanpa air, asid atau alkali tulen yang kering tak dapat tunjuk sifatnya. Macam manusia juga...ada 'sesuatu' yang menunjukkan sifat lelaki atau perempuan. Barangkali, kau bolehlah tanya cikgu kau di sana. Sekarang, aku nak bagi kongsi sikit bahan-bahan seharian yang berasid dan beralkali. Aku bagi sekali dengan pH nya. Jus limau, 2.3 Jus lemon, 2.5 Cuka, 2.8 Minuman bergas, 3.0 Minuman soda, 4.2 Pisang, 4.6 Teh, 5.5 Susu lembu segar, 6.5 Air suling, 7.0 Putih telur, 7.4 Sabun mandi, 8.5 Ubat gigi, 9.2 Susu magnesia, 9.8 Detergen, 11.5 Apa macam? Best kan dapat tahu benda-benda macam ni? Dulu kita fikir asid ni bahaya. Rupanya hari-hari makan asid. Erm...baiklah. Panjang sudah ni. Jangan lupa balas ya. Kita kongsi-kongsi. Nanti ada masa, boleh kita jumpa lagi..InsyaAllah... 

18 Jun 2012

Matahari

Apa khabar semua? Hari ini, cikgu nak bincang lagi tentang salah satu penciptaan Allah yang sangat hebat iaitu matahari. Matahari adalah pusat sistem solar. Matahari ialah bintang tunggal dalam sistem solar yang menghasilkan tenaga cahaya dan tenaga haba. Matahari juga ialah bintang yang terdekat dengan bumi, kira-kira 150 juta km dari bumi. Kira dekatlah tu...kalau dari sandakan ke kota kinabalu tak silap 300 lebih km.

Jisim matahari ialah 1.989 x 10³⁴ kg iaitu 333 420 kali lebih berat daripada bumi. Diameternya ialah 1 392 000 km iaitu 109 kali lebih besar daripada bumi. Ketumpatannya pula 1485 kg/m³ iaitu 0.27 kali lebih tumpat daripada bumi. Suhu permukaannya pula ialah 5100-6000°C iaitu 227-273 kali lebih panas daripada bumi. Daya tarikan gravitinya pula ialah 28 kali lebih kuat daripada bumi.

Atmosfera matahari terdiri daripada korona, kromosfera dan fotosfera. Korona ni adalah lapisan atmosfera matahari yang terbesar dan terpanas. Semasa gerhana penuh matahari berlaku, bolehlah kita tengok bahagian ni. Kalau ditengok betul-betul kan, kita nampak macam satu cincin cahaya berwarna biru keputih-putihan yang mengelilingi matahari. Korona juga mempunyai lapisan gas yang nipis dan mencapai suhu setinggi 2 000 000°C. Kromosfera pula ialah lapisan di antara korona dan fotosfera. Tebalnya kira-kira 9600 km. Boleh bayangkah tebalnya tu? Ia terdiri daripada hidrogen, helium dan kalsium. Hanya boleh dilihat dari bumi semasa gerhana penuh matahari sebagai cincin cahaya berwarna merah keungu-unguan. Suhunya berubah-ubah dari 10 000°C ke 50 000°C. Fotosfera pula merupakan permukaan berkilau pada matahari yang kelihatan dari bumi. Suhunya kira-kira 6000°C dan ketebalannya lebih kurang 400 km. Hampir semua tenaga cahaya yang diterima oleh bumi berpunca daripada fotosfera. Permukaannya pula mempunyai banyak tompok matahari, prominen dan nyala solar. Pusat matahari disebut teras. Suhunya adalah lebih kurang 15 000 000°C. Hidrogen bertukar kepada helium dan membebaskan haba yang banyak.

Subhanallah. Maha suci Allah!

Mol

Pernah dengar mol? Cuba buka bab 3 tingkatan 4 buku kimia malaysia. Confirm akan nampak topik ni. Susahkah nak faham? Mol dan molar unit yang kerap digunakan dalam bidang kimia. Konsep mol ialah konsep kuantiti. Secara mudah, mol ialah satu unit yang menerangkan kuantiti yang sangat banyak. Berapakah nilainya tak perlu ingat yang penting, 1 mol sama dengan 6.023 x 10 kuasa 23. Boleh bayang banyaknya tu. Cuba tengok, kalau 10 kuasa 1 sama dengan 10, 10 kuasa 2 sama dengan 100, 10 kuasa 3 sama dengan 1000 dan 10 kuasa 6 satu juta, 10 kuasa 23? Banyak tu...Tapi, hakikatnya unit mol ini tiada beza dengan dozen, ribu, ratus dan lain-lain unit. Kalau 1 dozen= 12, 1 ratus=100, 1 mol=6.023 x 10 kuasa 23.

Kalau di rumah, kita boleh jelaskan konsep ini dengan mudah. Satu hari, kita bawa anak-anak beli beras. Kita taulah dalam satu guni beras, memang banyak beras. Oleh itu, kita katakan kepada anak kita, "samad, kita beli 1 mol beras ni ya, boleh makan lama sikit". Bukan apa, kita hanya nak bagi pendedahan bahawa mol ni satu bilangan yang banyak. Tu saja pun. Contoh lain, sekarang musim bola euro2012 kan? Agak-agak, berapa penonton dalam satu stadium? Ramaikan? Katakan saja pada rakan anda, "kau tau man, semalam aku tengok di tv bola tu, ramai sangat penonton, mungkin mau 1 mol juga tu." Apa macam? Faham tak ni?

Apa yang perlu kita fahami betul-betul ialah, mol ni merujuk kepada kuantiti. Makanya, 1 mol beras, 1 mol pasir, 1 mol manusia, 1 mol kucing akan mengandungi bilangan yang sama iaitu 6.023 x 10 kuasa 23. Berbezanya dari segi berat atau jisim masing-masing kerana semuanya ialah benda atau bahan atau jirim yang berlainan. Harap kamu semua fahamlah ya.

17 Jun 2012

Kesilapan umum pelajar kimia


Berikut merupakan kesilapan umum pelajar dalam menjawab soalan kimia. Saya akan paparkan konsep yang salah dahulu diikuti dengan konsep yang betul.

Tingkatan 4, Bab 2

- "Zarah-zarah dalam keadaan pepejal tidak bergerak" sepatutnya "zarah-zarah dalam keadaan pepejal bergetar di kedudukannya"

- "semasa peleburan naftalena, tenaga haba diserap untuk memutuskan ikatan antara zarah" sepatutnya "semasa peleburan naftalena, tenaga haba diserap untuk mengatasi daya tarikan antara zarah"

- "elektron adalah sama berat dengan proton atau neutron" sepatutnya "elektron adalah jauh lebih ringan daripada proton atau neutron"

- "nombor nukleon ialah bilangan neutron dalam suatu atom" sepatutnya "nombor nukleon ialah jumlah bilangan proton dan neutron dalam suatu atom"

- "isotop-isotop unsur yang sama mempunyai bilangan proton dan neutron yang sama" sepatutnya "isotop-isotop unsur yang sama mempunyai bilangan proton yang sama tetapi bilangan neutron yang berlainan"

Sila ambil perhatian perkara-perkara di atas. InsyaAllah bersambung...


Ahli kimia bukan ahli sihir

Ahli sihir digambarkan dengan kuali dan rempah ratusnya untuk menghasilkan pelbagai bahan lain dalam sihirnya. Maka, ahli sihir itu dikagumi kerana berjaya memukau mata manusia dengan bahan-bahannya. Baiklah, di zaman moden ini, sepatutnya kita juga kagum kerana dengan percampuran bahan-bahan tertentu, ahli kimia telah menghasilkan pelbagai bentuk bahan yang memudahkan urusan kita sehari-hari. Tak percaya? Tapi ingat, ini bukan sihir.

Baiklah. Pernah dengar asid sulfurik? Asid sulfurik boleh digunakan dalam pembuatan baja seperti ammonium sulfat. Boleh juga buat sabun dan detergen. Selain itu, asid sulfurik juga digunakan dalam pembuatan cat dan racun perosak (insektisid). Macam mana asid sulfurik ni dibuat? Asid sulfurik dibuat dalam industri melalui proses sentuh. Pembuatannya melibatkan tiga peringkat.

Peringkat pertama, gas sulfur dioksida dihasilkan dengan membakar sulfur dalam udara. Kemudian, peringkat kedua, campuran gas sulfur dioksida dan udara dialirkan ke atas vanadium(V) oksida yang bertindak sebagai mangkin pada suhu 450-500°C dan di bawah tekanan satu atmosfera. Ini nantinya akan menghasilkan gas sulfur trioksida. Peringkat ketiga, gas sulfur trioksida dilarutkan dalam asid sulfurik pekat untuk membentuk oleum. Selepas itu, air ditambah kepada oleum untuk mencairkannya bagi menghasilkan asid sulfurik.

Nah...apa macam? Sekali lagi,ini bukan sihir ya. Sekarang saya nak cerita sikit pasal ammonia. Ammonia ni boleh digunakan untuk menghasilkan asid nitrik. Asid nitrik pula digunakan dalam pembuatan bahan letupan dan baja nitrat. Ammonia sangat larut dalam air, kurang tumpat daripada udara, berbau sengit dan gas tidak berwarna. Ammonia dihasilkan secara besar-besaran di kilang melalui proses Haber. Dalam proses Haber, gas hidrogen dan nitrogen dicampurkan dalam nisbah isipadu atau mol 1:3. Gas hidrogen tu diperoleh daripada gas asli metana, sejenis gas semula jadi manakala gas nitrogen tu pula daripada penyulingan berperingkat yang dilakukan ke atas udara dalam bentuk cecair. Campuran gas ini kemudian dialirkan ke atas serbuk ferum (mangkin) pada suhu 450-550°C dan dimampatkan di bawah tekanan antara 200-500 atmosfera. Gas ammonia yang diperoleh disejukkan (suhu -50°C) sehingga menjadi cecair ammonia.

Baiklah, setakat sampai di sini dulu. Nanti, saya cerita pasal benda lain pula. Apa-apa pun, ahli kimia bukan ahli sihir.

Memerihalkan inovasi teknologi

Inovasi teknologi merujuk kepada penghasilan dan penggunaan idea, pengetahuan, serta kemahiran teknologi untuk mencipta atau memperbaharui p...