27 November 2014

SAINS TIDAK MAMPU MENJAWAB BANYAK PERSOALAN TABII

SAINS TIDAK MAMPU MENJAWAB BANYAK PERSOALAN TABII
Oleh: Azlan Bin Budun

Sains ialah kajian yang sistematik tentang alam dan kesan-kesannya. Pengetahuan yang dikumpul daripada kajian sains ini dipanggil pengetahuan saintifik. Pengetahuan saintifik diperoleh menerusi penyiasatan yang teliti. Manusia mempelajari sains untuk memahami fenomena alam. Fenomena alam ialah peristiwa yang berlaku di sekeliling kita secara ‘semula jadi’. Namun, alangkah baiknya istilah ‘semula jadi’ tersebut ditukar dengan istilah ‘mengikut sunnatullah’. Istilah ‘semula jadi’ difahami sebagai berlaku dengan sendirinya tanpa campur tangan yang lain. Sebagai contoh, jika saya mengatakan ‘pokok itu terjadi secara semula jadi’ maka ia bermaksud pokok itu terjadi dengan sendirinya. Fahaman ini merupakan fahaman materialisme yang batil dipelopori Charles Darwin kerana mengaitkan sesuatu yang terbentuk itu secara semula jadi atau kebetulan.
Fahaman ini membawa maksud tidak ada penciptaan dari Yang Maha Pencipta atau lebih tepatnya Allah itu tidak wujud. Na’uzubillah.





Antara contoh fenomena alam ialah:
a.    Peleburan ais
b.     Pertumbuhan bayi
c.     Percambahan biji benih
d.     Letupan gunung berapi
e.     Kejadian tsunami


Segala fenomena yang berlaku mengikut contoh-contoh di atas dapat diterangkan dengan ilmu sains. Peleburan ais 
sebagai contoh dapat dijelaskan menggunakan ilmu kimia. Penjelasan yang biasa dipelajari ialah seperti berikut:

“Apabila suatu pepejal (ais) dipanaskan, zarah-zarah dalam pepejal itu memperoleh tenaga. Tenaga kinetik bagi zarah-zarah pepejal meningkat dan getaran zarah-zarah semakin laju. Semasa suhu meningkat, zarah-zarah bergetar dengan lebih laju sehingga tenaga yang diserap cukup untuk mengatasi daya tarikan yang memegang zarah-zarah itu pada kedudukannya yang tetap. Pada takat ini, zarah-zarah dapat bergerak bebas dan pepejal (ais) berubah kepada cecair. Suhu pada takat ini dipanggil takat lebur. Takat lebur bagi suatu bahan ialah suhu apabila bahan itu bertukar daripada keadaan pepejal kepada keadaan cecair pada tekanan tertentu”.

Penjelasan tersebut telah dapat menjawab soalan “Bagaimana peleburan ais berlaku?”. Akan tetapi, mungkin soalan-soalan lain akan muncul ekoran penjelasan tadi. Contohnya:
  • Dari mana tenaga itu diperoleh?
  • Adakah takat lebur ais tetap?
  • Jika tetap (katakan takat lebur ais ialah X), dari mana ais itu tahu takat leburnya mesti XoC?  

Seorang penuntut ilmu yang ikhlas sepatutnya akan mencari jawapan yang dapat memuaskan akal dan menenangkan hati. Mari kita merenung, berfikir dan menghayati beberapa lagi fenomena yang masih belum atau mungkin tidak dapat dirungkai oleh akal fikiran manusia.

Pernahkah anda melihat pokok yang besar mengeluarkan buah yang kecil manakala pokok menjalar yang kecil mengeluarkan buah yang sangat besar? Ayuh perhatikan buah tembikai yang besar tetapi tumbuh daripada pohon menjalar yang sangat kecil
. Sekarang, perhatikan buah keranji yang bersaiz kecil tetapi pohonnya besar dan tinggi menerawang ke udara. Di sinilah letaknya hikmah ciptaan Allah yang sukar untuk difahamkan kecuali bagi mereka yang mempunyai mata hati yang jernih. Anda dapat bayangkan andai buah keranji sebesar buah tembikai jatuh menimpa kepala seseorang yang melalui pohon menerawang tersebut? Alangkah ganjil apabila pohon kecil mempunyai buah besar manakala pohon besar mempunyai buah kecil. Fenomena ini tidak mengikut hukum fizik dan hukum perkadaran matematik.


Soalan-soalan lain yang sains tidak mampu jelaskan:
  1. Kenapa manusia menangis ketika berduka?
  2. Kenapa manusia ketawa ketika gembira?
  3. Kenapa mengantuk waktu malam?
  4. Bagaimana peristiwa mimpi berlaku?
  5. Ke mana suara yang dituturkan menghilang? Adakah gelombang suara itu terkumpul dalam satu lapisan di atmosfera atau hilang begitu sahaja?
  6. Ke mana hilangnya cahaya apabila lilin dipadamkan? Menurut sains, tenaga cahaya akan kekal atau ditukarkan ke dalam bentuk tenaga lain yang setara. Dalam kes ini, cahaya tadi ditukarkan ke dalam bentuk apa, jika teori ini benar?

Begitu banyak persoalan tabii yang belum dapat atau tidak dapat dijelaskan oleh sains. Penjelasan lanjut bolehlah menghadam buku bertajuk Ulul Albab, Ajaibnya Alam Semesta karya Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail.

Demikian lemah akal manusia menanggapi rahsia Allah dalam tiap ciptaan-Nya. Teruskan budaya berfikir, merenung dan membaca alam yang luas terbentang ini sehingga anda mengakui betapa lemahnya anda di hadapan Penguasa Yang Maha Kuasa Yang Menjadikan sesuatu itu tidak sia-sia.

Memerihalkan inovasi teknologi

Inovasi teknologi merujuk kepada penghasilan dan penggunaan idea, pengetahuan, serta kemahiran teknologi untuk mencipta atau memperbaharui p...