SAINS TIDAK MAMPU MENJAWAB BANYAK PERSOALAN TABII
Oleh: Azlan Bin Budun
Sains ialah kajian yang sistematik tentang alam dan
kesan-kesannya. Pengetahuan yang dikumpul daripada kajian sains ini dipanggil
pengetahuan saintifik. Pengetahuan saintifik diperoleh menerusi penyiasatan
yang teliti. Manusia mempelajari sains untuk memahami fenomena alam. Fenomena
alam ialah peristiwa yang berlaku di sekeliling kita secara ‘semula jadi’.
Namun, alangkah baiknya istilah ‘semula jadi’ tersebut ditukar dengan istilah
‘mengikut sunnatullah’. Istilah ‘semula
jadi’ difahami sebagai berlaku dengan sendirinya tanpa campur tangan yang lain.
Sebagai contoh, jika saya mengatakan ‘pokok itu terjadi secara semula jadi’
maka ia bermaksud pokok itu terjadi dengan sendirinya. Fahaman ini merupakan fahaman
materialisme yang batil dipelopori Charles Darwin kerana mengaitkan sesuatu yang terbentuk itu secara semula
jadi atau kebetulan.
Fahaman ini membawa maksud tidak ada penciptaan dari Yang
Maha Pencipta atau lebih tepatnya Allah itu tidak wujud. Na’uzubillah.
Antara contoh fenomena alam ialah:
a. Peleburan ais
b.
Pertumbuhan bayi
c.
Percambahan biji benih
d.
Letupan gunung berapi
e.
Kejadian tsunami
Segala fenomena yang berlaku mengikut contoh-contoh di
atas dapat diterangkan dengan ilmu sains. Peleburan ais
sebagai contoh
dapat dijelaskan menggunakan ilmu kimia. Penjelasan yang biasa dipelajari ialah
seperti berikut:
“Apabila suatu pepejal (ais) dipanaskan, zarah-zarah
dalam pepejal itu memperoleh tenaga. Tenaga kinetik bagi zarah-zarah pepejal
meningkat dan getaran zarah-zarah semakin laju. Semasa suhu meningkat,
zarah-zarah bergetar dengan lebih laju sehingga tenaga yang diserap cukup untuk
mengatasi daya tarikan yang memegang zarah-zarah itu pada kedudukannya yang
tetap. Pada takat ini, zarah-zarah dapat bergerak bebas dan pepejal (ais)
berubah kepada cecair. Suhu pada takat ini dipanggil takat lebur. Takat lebur
bagi suatu bahan ialah suhu apabila bahan itu bertukar daripada keadaan pepejal
kepada keadaan cecair pada tekanan tertentu”.
Penjelasan tersebut telah dapat menjawab soalan
“Bagaimana peleburan ais berlaku?”. Akan tetapi, mungkin soalan-soalan lain
akan muncul ekoran penjelasan tadi. Contohnya:
- Dari mana tenaga itu diperoleh?
- Adakah takat lebur ais tetap?
- Jika tetap (katakan takat lebur ais ialah X), dari mana ais itu tahu takat leburnya mesti XoC?
Seorang penuntut ilmu yang ikhlas sepatutnya akan mencari
jawapan yang dapat memuaskan akal dan menenangkan hati. Mari kita merenung,
berfikir dan menghayati beberapa lagi fenomena yang masih belum atau mungkin
tidak dapat dirungkai oleh akal fikiran manusia.
Pernahkah anda melihat pokok yang besar mengeluarkan buah
yang kecil manakala pokok menjalar yang kecil mengeluarkan buah yang sangat
besar? Ayuh perhatikan buah tembikai yang besar tetapi tumbuh daripada pohon
menjalar yang sangat kecil
. Sekarang, perhatikan buah keranji yang
bersaiz kecil tetapi pohonnya besar dan tinggi menerawang ke udara. Di sinilah
letaknya hikmah ciptaan Allah yang sukar untuk difahamkan kecuali bagi mereka yang
mempunyai mata hati yang jernih. Anda dapat bayangkan andai buah keranji
sebesar buah tembikai jatuh menimpa kepala seseorang yang melalui pohon
menerawang tersebut? Alangkah ganjil apabila pohon kecil mempunyai buah besar
manakala pohon besar mempunyai buah kecil. Fenomena ini tidak mengikut hukum
fizik dan hukum perkadaran matematik.
Soalan-soalan lain yang sains tidak mampu jelaskan:
- Kenapa manusia menangis ketika berduka?
- Kenapa manusia ketawa ketika gembira?
- Kenapa mengantuk waktu malam?
- Bagaimana peristiwa mimpi berlaku?
- Ke mana suara yang dituturkan menghilang? Adakah gelombang suara itu terkumpul dalam satu lapisan di atmosfera atau hilang begitu sahaja?
- Ke mana hilangnya cahaya apabila lilin dipadamkan? Menurut sains, tenaga cahaya akan kekal atau ditukarkan ke dalam bentuk tenaga lain yang setara. Dalam kes ini, cahaya tadi ditukarkan ke dalam bentuk apa, jika teori ini benar?
Begitu banyak persoalan tabii yang belum dapat atau tidak
dapat dijelaskan oleh sains. Penjelasan lanjut bolehlah menghadam buku bertajuk
Ulul Albab, Ajaibnya Alam Semesta karya Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail.
Demikian lemah akal manusia menanggapi rahsia Allah dalam
tiap ciptaan-Nya. Teruskan budaya berfikir, merenung dan membaca alam yang luas
terbentang ini sehingga anda mengakui betapa lemahnya anda di hadapan Penguasa
Yang Maha Kuasa Yang Menjadikan sesuatu itu tidak sia-sia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan