LEBAH
MADU: BUKTI KEAGUNGAN ILAHI
Oleh: Azlan Bin Budun
Kepelbagaian organisma di Bumi
disebut sebagai biodiversiti atau kepelbagaian biologi. Organisma boleh dikelaskan
dengan menggunakan kaedah pengelasan yang sesuai. Sistem pengelasan digunakan
untuk mengumpulkan benda-benda hidup secara teratur kerana bilangan dan
jenisnya yang begitu besar. Pengelasan adalah penting untuk membolehkan kajian
saintifik yang lebih mendalam dijalankan demi kemajuan sesuatu spesies.
Haiwan boleh dikelaskan berdasarkan
ciri-ciri sepunya. Ciri-ciri sepunya merupakan ciri-ciri yang dimiliki oleh dua
atau lebih jenis spesies. Ciri-ciri sepunya pada haiwan termasuklah cara
pembiakan, jenis makanan, habitat dan sifat-sifat fizikal. Haiwan dibahagikan
kepada dua kumpulan utama iaitu vertebrata (haiwan bertulang belakang) dan
invertebrata (haiwan yang tidak bertulang belakang). Ahli sains selanjutnya
mengelaskan vertebrata kepada lima kumpulan iaitu reptilia, ikan, mamalia,
burung dan amfibia (RIMBA). Antara contoh invertebrata pula ialah semut, labah-labah,
lebah dan ketam.
Pada kali ini, saya suka berkongsi
berkenaan dengan mahkluk Allah yang disebut lebah. Dalam Al-Quran, terdapat
surah an-Nahl yang bermaksud lebah.
Allah Subhaanahu Wa Ta’ala menyatakan
dalam surah an-Nahl ayat 68-69 yang
bermaksud, “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah engkau membuat
sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan
yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan
dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan
Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah
dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi
penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang
demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang
yang mahu berfikir."[1]
Sekarang saya ingin menceritakan
sedikit berkenaan dengan lebah. Setiap masyarakat lebah madu ada seekor ratu.
Ratu adalah lebah paling besar di antara lebah-lebah betina. Ia bertelur pada
waktu-waktu tertentu. Lebah yang akan terhasil nanti (lebah pekerja) tidak
muncul dari telur begitu saja. Akan tetapi, yang keluar dari telur adalah
ulat-ulat putih yang disebut larva. Larva itu tanpa mata dan sayap atau kaki.
Kemudian, dalam beberapa waktu, larva terbungkus sebagai kepompong. Akhirnya
akan keluar dari kepompong sebagai lebah pekerja. Walaupun bilangan lebah
pekerja sangat banyak sehingga mencecah ribuan lebah, lebah pekerja hidup
bersama secara damai dengan tugas masing-masing dalam sarang yang sangat
teratur.
Lebah madu betina bertugas
membersihkan ‘bilik-bilik’ sarang. Lebah madu betina akan membuang kotoran yang
ditinggalkan lebah-lebah yang menetas dari kepompong, lebah-lebah yang mati di
dalam sarang dan segala sesuatu yang bukan menjadi bahagian dari sarang. Jika
lebah madu betina ini menjumpai kotoran yang terlalu besar untuk diangkut ke
luar sarang, lebah ini akan membungkus kotoran itu dengan zat anti bakteria
yang dipanggil ‘propolis’. Zat ini dapat mencegah kotoran tersebut menjadi
sumber bakteria yang akan membahayakan kesihatan lebah lain di sarang. Pembungkusan
ini mirip dengan pengawetan mumia.
Lebah madu menghasilkan propolis menggunakan rahang bawahnya
iaitu dengan mengumpulkan zat yang disebut resin
dari tunas berlendir pada pohon-pohon tertentu. Seterusnya, lebah madu akan
membuat propolis dengan mencampurkan resin tersebut dengan air liurnya dan
mengangkut ke sarang dalam ruang khusus pada kakinya.
Lebah madu memulakan pembuatan
‘bilik-bilik’ madu yang berbentuk segi enam atau heksagonal dari bahagian atas
sarang. Bermula dari beberapa titik, lebah madu membuat dua atau tiga baris ke
bawah. Pada saat lebah sedang meneruskan pembangunan sarang, sekelompok lebah
yang lain akan bergabung dan memulai pembinaan ‘bilik’ dari titik yang lain.
Pun begitu, tidak ada kekacauan dalam bekerja. Lebah tetap menghasilkan
bangunan yang sempurna.
Lebah bekerja keras untuk
menghasilkan madu. Maksudnya begini, 900 ekor lebah bekerja seharian untuk
mengumpulkan setengah kilogram nektar. Bahkan ada yang lebih menghairankan lagi
iaitu 17 ribu ekor lebah mesti mengunjungi 10 juta bunga untuk menghasilkan 450
gram madu asli. Sebuah pekerjaan yang amat berat bagi lebah. Namun demikian,
lebah tetap bekerja keras dan menghasilkan madu yang jumlahnya lebih dari yang
lebah perlukan. Ditambah lagi, lebah tidak memakai sebahagian besar dari madu
tersebut, malahan menawarkannya kepada manusia.
Ajaibkan? Walaupun panjang tubuhnya
hanya sekitar tiga sentimeter, lebah-lebah bekerja sangat menakjubkan. Ayuh
ulang semula terjemahan Qur’an surah an-Nahl
ayat 68-69 di atas.
Allahlah yang menyuruh lebah untuk
bertingkahlaku demikian. Allah sangat sayang kepada manusia hingga Allah
meminta lebah untuk membuat madu yang berguna sebagai ubat. Sungguh
menyenangkan dapat mengerti kebaikan Allah.
Ini menunjukkan bahawa setiap bahagian
alam semesta ini diatur dengan seni yang indah. Inilah karya seni Allah, yang menciptakan
kita (pembaca), ayah dan ibu kita, lebah, labah-labah, semut, dan seluruh alam
semesta. Allahlah Tuhan segala sesuatu.
Segala sesuatu terjadi dengan izin-Nya
dan atas kehendak-Nya. Dialah pencipta lebah madu. Semua yang mereka lakukan
adalah dengan izin-Nya. Kehebatan binatang ini menunjukkan kebaikan Allah yang
tak tertandingi. Semua serba ajaib, jika kamu melihat segala sesuatu di
sekelilingmu.
Lebah madu tidaklah memiliki
kelebihan seperti yang kamu lihat sendiri atau pelajari! Tidak mungkin bagi
mereka untuk mempunyai kelebihan seperti itu! Apa yang mereka lakukan adalah
atas petunjuk Allah, pencipta mereka, sehingga mereka mampu menampilkan
kehebatan yang membuat kita semua kagum.[2]
Semakin banyak tafakkur kita ke atas
alam ini, semakin tersingkaplah keagungan Ilahi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan