Oleh: Azlan Budun
Secara mudah, sains ialah satu susunan ilmu pengetahuan mengenai alam sekitar yang sentiasa berkembang. Teknologi ialah aplikasi atau penggunaan pengetahuan sains untuk memenuhi keperluan kehidupan harian manusia. Berdasarkan takrifan ini, mungkin kita katakan sains dulu baru adanya teknologi.
Pada zaman dahulu, manusia telah pun mencipta pelbagai alatan untuk memotong, memasak dan sebagainya. Oleh kerana alat-alat tersebut membantu mereka dalam kehidupan harian, maka alat-alat tersebut boleh dipanggil teknologi. Persoalannya, adakah teknologi yang mereka hasilkan tersebut berdasarkan ilmu sains dengan menggunakan kaedah saintifik? Saya percaya, manusia ketika itu belum pun memahami tentang hipotesis, analisis data, buat laporan dan semua langkah-langkah saintifik.
Oleh itu, sains dan teknologi perlu diperhalusi maknanya. Sains bukan ilmu yang hanya mampu dimiliki oleh mereka yang memiliki ijazah, namun mampu dimiliki oleh semua manusia yang mahu berfikir. Asas pemikiran sains ialah mesti ada fakta, panca indera, otak dan maklumat terdahulu. Semuanya bermula dari sebuah masalah. Timbul persoalan, bagaimana nak potong daging ini? Bermula proses berfikir menggunakan fakta yang ada, panca indera, otak dan dikaitkan dengan maklumat sama ada pengalaman, pembacaan, pemerhatian dan sebagainya.
Akhirnya, sains membantu penciptaan teknologi dan teknologi membantu penemuan sains.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan