11 Jun 2014

Adakah Minat Mempengaruhi Pencapaian Sains?

Oleh: Azlan Bin Budun

Beberapa Penulisan Tentang Minat Terhadap Sains

Minat terhadap sains merujuk kepada rasa ingin tahu terhadap sains dan isu-isu yang berkaitan sains, kesediaan untuk mendapatkan pengetahuan saintifik tambahan dan kemahiran dengan menggunakan pelbagai sumber dan kaedah, dan kesediaan untuk mendapatkan maklumat dan kepentingan berterusan dalam bidang sains termasuk pertimbangan kerjaya sains (Cakmakci, Sevindik, Pektas, Uysal, Kole, & Kavak, 2012). Minat berkait rapat dengan motivasi diri pelajar. Menurut Enwistle, Nisbet, Enwistle, & Cowell (1971), motivasi merupakan faktor tingkah laku pelajar terhadap apa yang hendak dilakukan. 

Menurut Elton (1988) seperti dalam Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1995), motivasi ialah proses membangkit, mengekalkan dan mengawal minat. Selain itu, motivasi yang baik akan membina satu tarikan yang kuat untuk menjadikan pelajar terus berminat dengan pelajaran yang disampaikan. Schiefele (1991) mendefinisikan minat dengan menyatakan“...interest is defined as a content-specific motivational characteristic composed of intrinsic feeling-related and value-related valences”. Isi kandungan khusus (content-specific) yang dimaksudkan Schiefele adalah berkaitan dengan topik, tugasan atau aktiviti khusus.

Hubungan Minat Terhadap Sains dengan Pencapaian Sains 

Kajian berkenaan hubungan minat terhadap sains dengan pencapaian sains telah banyak dibincangkan oleh ahli dalam bidang psikologi dan pendidikan.  Merujuk kepada hubungan minat dengan pembelajaran, menurut Ainley, Hidi, & Berndorff (2002) & Lamb, Annetta, Meldrum, & Vallett (2012) terdapat tiga jenis minat iaitu mengikut individu, situasi dan topik.  Minat individu dianggap sebagai kecenderungan individu untuk mengikuti rangsangan tertentu, peristiwa, dan objek. Minat situasi diperoleh daripada aspek-aspek tertentu dalam alam sekitar. Hal ini termasuk ciri-ciri kandungan seperti aktiviti manusia atau tema kehidupan dan ciri-ciri struktur seperti cara tugas disusun dan dibentangkan. Minat topik merupakan tahap minat yang dicetuskan apabila topik tertentu dikemukakan seolah-olah mempunyai kedua-dua aspek minat individu dan situasi. Liaghatdar, Soltani, & Abedi (2011) menyatakan bahawa orang yang berminat terhadap sains akan menganggap penting untuk mempelajari sains. 

Selain itu, sikap terhadap sains merupakan salah satu faktor yang dapat memotivasikan minat pelajar dalam pendidikan sains dan bidang yang berkaitan dengannya (Nasr & Soltani, 2011 & Trumper, 2006). Seterusnya, Schiefele, Krapp, & Winteler (1992) menyatakan “...one usually finds three broad classes of factors that are considered to be especially relevant to a successful prognosis of academic success: (a) general cognitive factors (e.g., verbal ability), (b) general motivational subject areas. The latter group is commonly referred to as ‘interests’. Kajian juga mendapati mata pelajaran sains sebagai contoh kimia yang diajar secara teori tanpa aktiviti hands-on akan menurunkan minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut (Salta & Tzougraki, 2004). 

Namun, terdapat juga kajian seluruh dunia (sebagai contoh projek SAS dan ROSE) yang menunjukkan berlaku penurunan minat di kalangan pelajar terhadap sains dalam negara-negara maju (Davidsson, 2009). Minat terhadap sains juga lebih menyerlah pada peringkat usia tertentu. Kajian oleh Maltese & Tai (2010) mendapati majoriti (65%) peserta dilaporkan berminat terhadap sains bermula sebelum sekolah menengah lagi. Nasr & Soltani (2011) menjelaskan terdapat dimensi tertentu yang menunjukkan perhubungan yang positif antara minat dengan pencapaian dalam sains. Selain itu, kajian Singh, Granville, & Dika (2002) mendapati pencapaian matematik dan sains dikalangan pelajar gred 8 dipengaruhi oleh motivasi, sikap dan waktu belajar. Tambahan pula, Zoldosova & Prokop (2006) mendapati idea pendidikan sains tidak formal mampu meningkatkan minat pelajar dan pencapaian daripada segi idea sains.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Memerihalkan inovasi teknologi

Inovasi teknologi merujuk kepada penghasilan dan penggunaan idea, pengetahuan, serta kemahiran teknologi untuk mencipta atau memperbaharui p...