07 Ogos 2012

Sistem sokongan pada haiwan

Apa khabar semua? Maaf, lama sudah cikgu tak menaip dalam blog ni. Oh ya, selamat berpuasa semua yang muslim. Moga amal ibadah kita dalam bulan ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun lalu dan dapat diteruskan pada bulan-bulan selain ramadhan.

Hari ni, cikgu nak kongsi pasal sistem sokongan pada haiwan. Sistem sokongan pada haiwan diperlukan untuk menyokong badan, melindungi tisu dan organ, mengekalkan bentuk pada badan serta membolehkan pergerakan berlaku. Sistem sokongan haiwan terbahagi 3 iaitu rangka dalam (contoh: vertebrata), rangka luar (contoh: serangga) dan rangka hidrostatik (contoh: beluncas). Haiwan vertebrata mempunyai rangka dalam sementara invertebrata mungkin mempunyai rangka luar atau rangka hidrostatik. Vertebrata ialah haiwan dengan tulang belakang. Invertebrata pula ialah haiwan yang tidak mempunyai tulang belakang.

Baiklah. Kita bincang lagi ya. Rangka dalam berada di dalam badan. Semua vertebrata, iaitu mamalia, reptilia, amfibia, burung dan ikan mempunyai rangka dalam. Rangka dalam terdiri daripada kerangka yang diperbuat daripada tulang dan rawan. Mahu tau tak, ikan yu mempunyai rangka dalam yang terbentuk sepenuhnya daripada rawan. Telinga dan hidung manusia pula disokong oleh rawan. Rangka dalam berfungsi menyokong badan, melindungi organ-organ dalam seperti otak, jantung dan peparu, mengekalkan bentuk badan, membolehkan pergerakan melalui pengecutan dan pengenduran otot-otot yang bersambung pada tulang, sumsum tulang pula menghasilkan sel-sel darah serta menyimpan mineral seperti kalsium dan fosforus yang dilepaskan ke dalam aliran darah bila diperlukan.

Rangka luar invertebrata berada di luar badan. Haiwan invertebrata seperti serangga, labah-labah, lipan, udang, ketam, siput dan kerang-kerangan mempunyai rangka luar. Invertebrata seperti serangga, labah-labah, lipan, udang dan ketam mempunyai rangka luar yang dikenali sebagai kutikel. Kutikel ialah penutup keras dan kalis air yang terdiri daripada kitin. Otot-otot bersambung pada bahagian dalam rangka luar. Invertebrata lain seperti siput dan kerang-kerangan mempunyai cangkerang (keras) yang terbentuk daripada kalsium karbonat. Rangka luar mempunyai fungsi menyokong badan, melindungi bahagian badan yang lembut, mengekalkan bentuk badan, membolehkan pergerakan dan mencegah kehilangan air dari badan. Oleh kerana rangka itu terdapat di luar badan, pertumbuhan badan adalah terhad. Jadi, invertebrata yang berkutikel bersalin rangka luarnya dan membentuk rangka baru beberapa kali sebelum mencapai peringkat dewasa. Proses penyalinan rangka dan pembentukan rangka baru dikenali sebagai ekdisis atau bersalin kulit. Dalam invertebrata seperti siput dan kerang-kerangan, kulit diperbesarkan dengan menambahkan kulit baru.

Ada lagi satu jenis rangka iaitu rangka hidrostatik. Rangka hidrostatik juga dikenali sebagai hidrorangka. Rangka hidrostatik terdiri daripada bendalir di dalam rongga badan yang dikelilingi dinding berotot. Pengecutan dinding berotot ini menghasilkan tekanan bendalir yang memaksa bendalir ke sebarang arah dan menyebabkan pergerakan. Rangka hidrostatik didapati pada invertebrata berbadan lembut seperti cacing tanah, beluncas, lintah bulan, hidra, anemon laut, ubur-ubur dan sotong kurita. Rangka hidrostatik berfungsi untuk menyokong badan, melindungi badan yang lembut, mengekalkan bentuk badan dan membolehkan pergerakan.

InsyaAllah, kita sambung lagi nanti ya. Cikgu nak bincang pasal sistem sokongan tumbuhan pula. Selamat membaca dan teruskan membaca.

9 ulasan:

  1. Haiwan apa yang mengalami proses ekdisis

    BalasPadam
    Balasan
    1. kebanyakan nya dari haiwan yang berangka luar seperti belalang

      Padam
  2. Kalau cicak boleh dianggap hidrostatik tak?

    BalasPadam
    Balasan
    1. cicak kategori vertebarata. haiwan yg mempunyai tulang belakang

      Padam
  3. Ular dikira Rangka Hidrostatik ke?

    BalasPadam
  4. Apakah kepentingan sistem rangka satu rodensia para haiwan spt tikus Dan tupai

    BalasPadam
  5. Adakah lipan mempunyai gerakan yang sama seperti cacing ?

    BalasPadam
  6. apakah perbezaan rangka antara siput dan labah labah ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Siput mempunyai rangka hidrostatik, manakala labah-labah mempunyai rangka luar ...hrp membantu:)

      Padam

Memerihalkan inovasi teknologi

Inovasi teknologi merujuk kepada penghasilan dan penggunaan idea, pengetahuan, serta kemahiran teknologi untuk mencipta atau memperbaharui p...